BEIJING – Negara berpenduduk paling ramai di dunia, China akan menamatkan dasar mengehadkan bilangan anak dalam sebuah keluarga, demikian menurut akhbar pemerintah dalam catatan di media sosial tempatan semalam.
Dasar ‘satu anak satu keluarga’ telah dilaksanakan selama beberapa dekad di China.
Bagaimanapun, semua kandungan perancangan keluarga itu digugurkan daripada draf undang-undang awam yang dibincangkan oleh ahli-ahli Parlimen utama kelmarin, lapor akhbar Daily Procuratorate di akaun sosial Weibo miliknya.
China melonggarkan dasar perancangan keluarga yang ketat selepas populasi warga tua bertambah, tenaga kerja semakin berkurangan dan kadar kelahiran di negara itu menurun.
Pada tahun 2016, pemerintah membenarkan pasangan di kawasan bandar mempunyai dua orang anak, menggantikan dasar satu anak yang dikuatkuasakan sejak 1979.
Kod draf sivil itu juga termasuk tempoh ‘bertenang’ selama sebulan bagi membolehkan pasangan yang memfailkan perceraian menarik balik kes mereka.
Semakan semula draf undang-undang sivil itu akan dibentangkan ke Parlimen China pada Mac 2020.
Spekulasi China akan melonggarkan dasar dua anak itu tercetus awal bulan ini apabila akhbar China Post mendedahkan reka bentuk setem terbitan tahun hadapan. Ia menampilkan gambar dua induk haiwan bersama tiga anak haiwan yang ceria. – Reuters











