PUTRAJAYA – Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperhalusi syarat-syarat pembelian unit kediaman Forest City, Johor sebelum membenarkan rakyat asing membeli hartanah yang membabitkan pelaburan sehingga US$100 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mempengerusikan Mesyuarat Perancangan Fizikal Negara di Perdana Putra di sini yang akan dianggotai oleh kementeriannya, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor.
“Keputusan sama ada kediaman itu boleh dijual kepada warga asing masih belum diputuskan lagi sebab itu kita kena bermesyuarat untuk menyemak dan meneliti selain melihat mekanisme penjualan dan pembelian itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perancangan Fizikal Negara di sini hari ini.
Katanya, beliau telah diarahkan untuk mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu untuk berbincang dengan agensi atau pemaju terlibat.
Zuraida mengulas kenyataan Mahathir bahawa Malaysia tidak akan membenarkan warga asing untuk membeli unit kediaman dalam projek Forest City bernilai US$100 bilion (RM410 bilion). – Bernama











