KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kedudukan kewangan negara yang mengongkong dan terhad boleh menyebabkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan belanjawan berimbang sukar untuk dilaksanakan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara tersebut semakin sukar untuk dicapai apabila melihat hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.
Beliau turut menjelaskan, belanjawan berimbang bukan sahaja tidak mungkin dapat dicapai pada tahun depan tetapi juga beberapa tahun akan datang.
“Oleh itu, untuk mencapai matlamat belanjawan berimbang saya rasa agak sukar.
“Ini adalah suatu matlamat yang semua (kerajaan) hendak capai. Semua hendak laksanakan tapi sukar untuk dicapai dalam kedudukan kewangan yang agak terkongkong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 di Dewan Negara, hari ini.
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan undian suara majoriti di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, peruntukan kewangan daripada kementerian beliau hanya akan disekat atau ditambah terhadap kementerian atau agensi yang mengalami rombakan atau pemindahan.
“Jadi, apabila kita sebut ada sekatan atau ada tambahan, itu hanya spesifik untuk kementerian tertentu. Sekiranya ada agensi dikeluarkan maka wang disekat. Tapi sekiranya ada agensi dipindah masuk tentulah wang akan bertambah.
“Secara keseluruhan jumlahnya (belanjawan) masih sama seperti mana yang telah diluluskan, tentunya ia tidak ambil kira urusan-urusan ‘lebihan bajet’ oleh kerajaan terdahulu,” katanya.











