KUALA LUMPUR 27 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai satu bentuk rasuah dan menjadi sebab mengapa kerajaan bercadang menghapuskannya.
Perdana Menteri percaya, BR1M tidak diagihkan dengan betul kepada kelompok sasaran yang sewajarnya.
Sebaliknya, Dr. Mahathir mendakwa, BR1M yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) diberikan semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat.
Beliau turut menyifatkan pemberian bantuan itu sebelum ini sebagai kerja kerajaan yang malas.
“Kerajaan ambil berat dan ingin bantu rakyat tetapi bantuan itu perlulah kepada orang yang betul. Sekiranya seseorang itu berpendapatan kurang daripada RM4,000, mempunyai banyak bebanan termasuklah tanggungan keluarga yang besar, yang itu kita boleh berikan bantuan duit kepadanya.
“Tetapi memberi duit secara percuma kepada seseorang hanya kerana berpendapatan kurang daripada RM4,000 tanpa melihat kepada situasi serta keperluan sama ada memerlukannya atau tidak adalah salah, itu rasuah. Polisi kerajaan ialah membantu golongan memerlukan, bukannya semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Bandar 4.0 dan Perniagaan 4.0 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.
Sebelum ini, dalam wawancara dengan portal The Malaysian Insight, Dr. Mahathir memberitahu BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menyifatkan pemberian bantuan wang tunai seperti BR1M mempunyai unsur rasuah politik bagi mendapatkan sokongan rakyat dan harus dihentikan.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir bagaimanapun memberitahu, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memansuhkan pemberian BR1M tetapi perlu melakukan penilaian semula terhadap kumpulan sasaran.
Beliau percaya, bantuan seumpamanya perlu diberikan kepada golongan yang sangat miskin serta tidak mempunyai punca pendapatan.
“Kami tidak mansuhkan sekarang tetapi kaji dulu mahu beri pada siapa,” jelas beliau.
Dr. Mahathir berkata, tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat supaya mereka berbangga dengan duit hasil daripada titik peluh sendiri.











