KUALA LUMPUR 27 Ogos – Petronas mendakwa kenaikan harga minyak pelincir adalah bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia, bukan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijangka hanya memberi kesan minimum.
![]() |
|
SYED ZAINAL ABIDIN
|
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan kepada tarif baharu SST yang akan berkuat kuasa 1 September ini dan akan membuat pelarasan mengikut kesesuaian cukai tersebut.
“Sama ada cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau SST, yang penting adalah ia bergantung kepada harga pasaran minyak dunia. Jadi, tidak ada kena mengena dengan SST.
Berita berkaitan:
“Bagi minyak, ia tertakluk kepada kawalan harga dan ia adalah volum terbesar kepada kami iaitu 90 peratus manakala selebihnya adalah hasil daripada bukan minyak. Namun, kami akan membuat persiapan yang bersesuaian untuk berdepan dengan SST,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan lukisan dinding yang dihasilkan para pelajar Fakulti Seni dan Reka Bentuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kempen ‘Cerita Kita’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di sini hari ini. Yang turut hadir, selebriti terkenal, Nor Fazura Sharifuddin.
Utusan Malaysia melaporkan, pelaksanaan SST bermula 1 September ini dijangka menyebabkan peningkatan harga barang sektor automotif meliputi tayar, alat ganti dan minyak pelincir.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMM), Anton Salleh Hashim dalam memorandum bertarikh 3 Ogos lalu berkata, syarikat akan menyelaraskan harga buat pengedar, perkhidmatan stesen Petronas, bengkel, alat ganti serta harga disyorkan kepada pengguna setelah SST dilaksanakan.
Malah, katanya, pelarasan harga juga disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, kos bahan mentah dan kos operasi, justeru, PLMM perlu bertindak meningkatkan harga meliputi semua saluran ‘highstreet’, pengeluar produk tulen (OEM) dan runcit.
Dalam pada itu, Syed Zainal memberitahu, sebahagaian daripada peruntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM350 juta digunakan untuk menaik taraf kemudahan di stesen minyak Petronas dan juga kedai Mesra Petronas.
“Pada masa hadapan, kita akan meningkatkan capex ini supaya dapat memenuhi keperluan para pengguna,” katanya.












