Trio negara sambar kilauan perak - Utusan Malaysia

Trio negara sambar kilauan perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA, Indonesia – Kejutan memecahkan rekod Sukan Asia gagal diteruskan oleh skuad berbasikal trek negara dalam acara pecut berpasukan lelaki apabila mereka terpaksa ber­puas hati meraih pingat perak selepas tewas kepada China dalam aksi final di Velodrom Antarabangsa Jakarta semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…
Skuad pecut berpasukan negara berjaya memecahkan rekod Sukan Asia dengan mencatat masa 43.934 saat (s) pada aksi kelayakan tetapi hanya mampu mencetak masa 44.598s pada saingan final yang me­nyaksikan China meraih emas de­ngan catatan masa 44.160s, manakala Jepun meraih pingat gangsa.

Bagaimanapun, ia masih rekod yang memberangsangkan memandangkan ini adalah kali pertama skuad berbasikal trek negara yang diwakili oleh Mohd. Azizulhasni Awang, Muhd. Shah Firdaus Sahrom dan Muhd. Fadhil Mohd. Zonis meraih pingat dalam acara pecut berpasukan.

Perkara tersebut nyata membanggakan Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley yang mengakui acara tersebut tidak menjadi sandaran buat anak-anak buahnya me­raih pingat pada temasya kali ini.

“Ini adalah kali pertama kami meraih pingat dalam acara ini sejak saya melatih skuad berbasikal trek kebangsaan. Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka walaupun meraih pingat perak.

“Kita sedar mereka hampir menggenggam pingat emas tetapi nasib tidak menyebelahi saingan kali ini. Apa yang pasti, saya anggap pingat ini adalah bonus buat kami.

“Saya percaya kita akan memperbaiki kelemahan dan memberi aksi yang terbaik pada acara yang menjadi sandaran utama seperti pecut individu dan keirin,” katanya kepada pemberita semalam.

Pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, skuad berbasikal trek negara hanya meraih satu pingat gangsa yang disumbangkan oleh Josiah Ng menerusi acara keirin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini