PALEMBANG 27 Ogos – Pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama Malaysia untuk meraih pingat dalam acara Masters lelaki Sukan Asia, apabila meraih pingat emas di Pusat Boling Jakabaring, di sini hari ini.
Pemain berusia 21 itu, beraksi dengan sabar dan tenang untuk menewaskan juara bertahan Park Jong-woo daripada Korea Selatan 534-511 pada pusingan final stepladder.
Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pemain Korea Selatan, Koo Seonghoi yang tewas 245-254 kepada rakan senegaranya, Park pada aksi separuh akhir stepladder .
Sementara itu, seorang pemain lagi wakil negara di acara itu, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, hanya mencatatkan tempat kelapan, selepas menjatuhkan 3,796 pin selepas dua blok. – BERNAMA











