KANGAR – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan takziah terhadap keluarga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 2.07 pagi tadi kerana penyakit kanser darah.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasakan kerana jasanya terhadap perjuangan parti itu.
“Allahyarham bukan sahaja berjasa kepada rakyat Pulau Pinang tetapi seluruh negara semasa menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri sebelum ini.
“Beliau dihormati kawan dan lawan selain seorang yang cermat dengan kata-katanya dan baik sekali,” katanya di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.
Terdahulu, Asyraf menyampaikan bantuan berbentuk makanan kepada pesakit di hospital itu. – K! ONLINE











