Geng Ramos tumpas - Utusan Malaysia

Geng Ramos tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Kumpulan Ramos yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di daerah ini tumpas dalam beberapa siri serbuan berasingan di sekitar Inanam dekat sini baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam serbuan antara pukul 12.30 tengah malam hingga 6 pagi pada 24 Ogos lalu, lima suspek yang juga ahli kumpulan berkenaan berusia antara 23 hingga 30 tahun diberkas di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek aktif melakukan jenayah pecah rumah melibatkan kawasan perumahan sekitar Inanam kira-kira setahun yang lalu.

“Sebuah pasukan siasatan khas telah ditubuhkan untuk mengesan pergerakan kumpulan terbabit sekali gus melumpuhkan aktiviti mereka.

“Tangkapan suspek pertama di sebuah stesen minyak di Inanam pada 24 Ogos lalu membawa kepada petunjuk empat lagi suspek yang turut ditahan pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Habibi berkata, hasil tangkapan kesemua suspek sekali gus menyelesaikan kira-kira 10 kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

Katanya, polis kini giat memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Ramon berusia 27 tahun yang dipercayai ketua kumpulan Geng Ramos.

“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan pemantauan di kawasan perumahan tertentu antara satu hingga dua hari sebelum bertindak memecah kediaman mangsa,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua barangan yang disamun akan dikumpulkan di lokasi khas kemudian dijual bagi mendapatkan wang membeli dadah kegunaan peribadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini