KUALA LUMPUR 26 Ogos – GOLONGAN penjaja di sekitar Wisma Yakin di sini akan dipindahkan ke Lanai Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), menjelang 2020. Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan bakal membangunkan bangunan tiga tingkat yang mampu menempatkan lebih 180 penjaja bagi tujuan itu.
“Kita tidak boleh mengekalkan kedudukan penjaja di depan Wisma Yakin seperti yang ada hari ini kerana mereka menutup jalan masuk ke Wisma Yakin dan bangunan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek River of Life (RoL), di sekitar ibu negara, baru-baru ini.
Pada lawatan itu, beliau meluangkan masa hampir lima jam meninjau pelaksanaan RoL yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.
Menurut Khalid, bangunan itu dijangka dibina pada awal tahun depan dan siap menjelang tahun 2020.
“Antara kemudahan yang akan disediakan adalah medan selera dan laluan bersambung di antara bangunan,” katanya sambil menjelaskan hanya penjaja yang sah dan berlesen sahaja akan ditempatkan di Lanai Seni.
Mengenai projek RoL, Khalid berkata, pelaksanaannya sudah mencapai tahap lebih 80 peratus siap.
Dalam pada itu, mengulas tindakan pihaknya menyita alat muzik kumpulan ‘buskers’ orang kurang upaya di Bukit Bintang yang tular di media sosial baru-baru ini, Khalid berkata beliau akan bertemu kumpulan pemuzik berkenaan selepas Hari Raya Aidiladha ini bagi mencari jalan penyelesaian.
Khalid berkata, tindakan itu dilakukan selepas mendapati sesetengah kumpulan pemuzik jalanan tersebut gagal mematuhi syarat ditetapkan sehingga menganggu ketenteraman terutama di kawasan pusat bandar.











