KUALA LUMPUR 26 Ogos – Sering kali dikecam kerana berimej botak, Harris Annuar tidak menganggap kritikan itu berniat untuk menjatuhkannya.
Sebaliknya, jelas pengacara dan pelakon baharu ini, dia sentiasa bersikap positif dan menjadikan kritikan serta kecaman sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan diri.
“Memang ada yang kritik dan bergurau kasar tentang imej botak tapi saya okay sahaja. Kita ambil yang positif dan belajar dari semua itu. Saya anggap ini semua asam garam sebagai seorang artis.
“Kalau kecam dan kritik pengacaraan atau lakonan saya, itu ruang untuk saya belajar untuk jadi lebih baik. Saya budak baru, banyak lagi kena belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Harris berkata, tugas sebagai pengacara Live Plus Big Stage secara langsung sangat mencabar dirinya sebagai pendatang baharu.
“Memang gementar sangat. Episod pertama memang jelas saya gugup tetapi saya belajar dan tetap mahu jadi diri sendiri,” katanya.











