LABUAN – Maritim Malaysia (APMM) Labuan merampas lima buah bot nelayan tempatan yang membawa 36 warganegara Vietnam di kawasan perairan Tanjung Kubong di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, kesemua suspek yang juga awak-awak berusia antara 16 hingga 57 tahun itu disyaki memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen perikanan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit menemui pukat yang tidak dilesenkan dan melakukan pengubahsuaian tempat penyimpanan ikan.
“Ketika melakukan rondaan OP Sejahtera, APMM mengesan lima buah bot dipercayai milik warga asing di sekitar perairan Labuan di sini.
“Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap bot mendapati ia didaftarkan atas nombor pendaftaran tempatan. Namun, kita mengesan beberapa kesalahan seperti melanggar syarat penggunaan pukat dan pengubahsuaian tempat penyimpanan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Adnan, terdapat bot yang mengubahsuai tempat penyimpanan ikan sebagai simpanan diesel.
Kesemua kru termasuk bot dirampas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985. – K! ONLINE











