TURIN 26 Ogos – Cristiano Ronaldo walaupun belum menunjukkan ketajamannya ketika penampilan sulung di Turin dengan Juventus, tetapi kehadirannya telah cukup untuk melonjakkan saham kelab itu di bursa saham Itali.
Semalam ketika Juventus menewaskan Lazio dengan 2-0 pada perlawanan Serie A Itali di Stadium Allianz di sini, dia gagal mempamerkan aksi terbaiknya akibat dikawal ketat pemain lawan.
Gol hanya hadir pada minit ke-30 oleh Miralem Pjanic memecah kebuntuan tuan rumah dengan sepakan voli jarak jauh menerobos ke gawang lawan.
Ketinggalan satu gol, skuad bimbingan Simone Inzaghi itu berusaha menyamakan kedudukan, tetapi mereka dihukum pula oleh Mario Mandzukic pada minit ke-75 selepas diumpan hantaran silang Joao Cancelo yang sepatutnya mengarah kepada Ronaldo, tetapi sempat dikuis oleh penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha dan pantas disambar Mandzukic untuk menciptakan gol.
Senarai pemain Juventus vs Lazio
Juventus (4-3-3)
Wojciech Szczesny; Joao Cancelo, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Alex Sandro, Sami Khedira (Rodrigo Bentancur 85’), Miralem Pjanic (Emre Can 69’), Blaise Matuidi, Federico Bernardeschi (Douglas Costa 60’), Mario Mandzukic, Cristiano Ronaldo.
Jurulatih: Massimiliano Allegri.
Lazio (3-5-2)
Thomas Strakosha; Stefan Radu, Francesco Acerbi, Wallace, Senad Lulic, Sergej Milinkovic-Savic (Riza Durmisi 79’), Lucas Leiva, Marco Parolo (Milan Badelj 64’), Adam Marusic, Luis Alberto (Joaquin Correa 64’), Ciro Immobile.
Jurulatih: Simone Inzaghi.
Di bursa saham Itali pula perpindahan Ronaldo telah melonjakkan saham Juventus kepada kira-kira RM5 bilion iaitu buat pertama kali dalam sejarah kelab juara Serie A itu sejak disenaraikan di bursa pada tahun 2001.
Menurut laman wed kewangan dan sukan, Calcio e Finanza, ketika bursa saham ditutup kelmarin nilai saham Juventus ialah 1.035 bilion euros (AS$1.2 bilion).
Kelab terkaya di dunia Manchester United, mempunyai nilai keseluruhan AS$3.9 billion.
Saham Juventus meningkat 55.15 peratus sejak 1 Julai lalu iaitu daripada 0.660 euro to 1.024 euros sesaham.
“Kemuncaknya pada Jun, ketika berlegarnya cerita Ronaldo akan ke Juventus,” lapor Calcio e Finanza.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or menyertai Juventus dari Real Madrid pada 10 Julai dengan bayaran 100 juta euro. Ronaldo dibayar gaji 30 juta euros setahun.
Bukan itu sahaja, jualan jersi hitam putih Juventus juga melonjak dan perlawanan semalam ada kedua buat Ronaldo ketika pasukan itu menewaskan Chievo 3-2 di gelanggang lawan.











