KUALA LUMPUR 26 Ogos – Seorang rakyat Malaysia Yap Jian Wei atau nama mayanya, xNova dan empat ahli kumpulannya, PSG.LGD menjadi jutawan baharu selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan Dota 2 The International 8.
xNova dan ahli kumpulan yang ditaja kelab utama bola sepak Eropah Paris Saint-Germain itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$4,075,965 (RM16,676,810) dalam pertanding yang berlangsung di Vancouver, Kanada.
Pertandingan e-sukan yang berlangsung pagi tadi menyaksikan wakil Eropah OG menjadi juara dan membawa pulang piala Aegis dan wang tunai berjumlah AS$11,208,905 (RM45,861,234).
Pasukan tersebut menumpaskan pasukan Jian Wei yang berpangkalan di China pada acara final.
Dota 2 yang dianjurkan setiap tahun merupakan kejohanan paling lumayan dalam arena e-sukan dan menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh dunia.
Hadiah keseluruhan tahun ini bagi kejohanan Dota 2 bernilai lebih AS25.4 juta (RM103 juta) iaitu lebih hampir AS$1 juta berbanding tahun lalu.
Untuk rekod e-sukan turut dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan Asia tahun ini sebagai acara demonstrasi dengan pingat yang diraih tidak dikira dalam pungutan keseluruhan.-UTUSAN ONLINE











