JERANTUT 25 Ogos – Misteri kehilangan seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Hutan Kuala Tahan di sini sejak dua minggu lalu terungkai apabila mangsa ditemukan dalam keadaan lemah hari ini.
Namun keupayaan mangsa bertahan dalam tempoh dua minggu tanpa mengalami kecederaan serius masih menjadi tanda-tanya.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3, Shahrul Nizam Nasir berkata, mangsa, Tarmizi Ahmad, 39, ditemukan pukul 4 petang kira-kira lima kilometer daripada kawasan dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemukan sepasukan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pelindung Rimba yang turut membantu pihak polis dan bomba melakukan operasi pencarian.
“Ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan lemah tetapi stabil dan tidak mengalami kecederaan yang serius,” katanya di sini, hari ini.
Mangsa yang hilang sejak 11 Ogos lalu memasuki Hutan Kuala Tahan bersama tujuh rakannya melalui Felda Kechau, Lipis bagi melakukan kerja pemasangan kamera program 1st National Tiger Survey.
Semasa dalam perjalanan pulang ke kem utama, mangsa yang berpecah dan berjalan bersama seorang rakannya melalui jalan sungai sambil memasang kamera telah hilang.
Menurut Shahrul Nizam, mangsa yang boleh bercakap dijadual bermalam di lokasi mangsa ditemukan malam ini sebelum dibawa keluar ke kem utama dan dihantar ke Hospital Lipis esok.
“Pada masa ini kita hanya mendapat maklumat asas dan masih belum mempunyai maklumat terperinci termasuklah punca kejadian dan juga bagaimana mangsa terus bertahan,” ujarnya.











