KUALA LUMPUR 25 Ogos – Keputusan Istana Negara untuk tidak menganugerahkan darjah kebesaran ketika sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 9 September ini adalah tepat kerana sudah terlalu ramai individu menerima anugerah-anugerah tersebut.
Tokoh bahasa dan budaya, Profesor Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, langkah mengurangkan penerima anugerah tersebut adalah baik bagi memastikan penerima anugerah tersebut dipandang tinggi oleh masyarakat.
“Sekarang ini ramai sangat orang bergelar dan kadang-kadang yang menerima gelaran ini pula tidak mempertahankan kehormatan yang dikaitkan dengan gelaran tersebut. Ada sesetengah pihak pula terlalu muda dan tidak jelas apa sumbangannya.
“Jadi, jika penganugerahannya dikurangkan terutamanya di peringkat negeri, mungkin gelaran ini lebih dipandang tinggi dan dihormati,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim mendedahkan bahawa tiada sebarang penganugerahan darjah kebesaran akan dilakukan pada sambutan kali ini dan perkara tersebut disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui tidak mengetahui faktor sebenarnya dan berpendapat, anugerah tersebut hanyalah untuk individu yang layak.
Perkara tersebut dipersetujui Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin yang berpendapat, pengurangan pemberian anugerah perlu diteruskan di peringkat negeri pula supaya kualitinya dapat terus dipelihara.
Kata beliau, penerima anugerah darjah kebesaran haruslah betul-betul layak dan ditapis sedalam mungkin supaya tidak timbul isu berbangkit tentang kelayakan penerima.
“Orang ramai harus faham bahawa faktor kualiti adalah penting bagi penerima. Ia tidak boleh diberi kepada mereka yang mempunyai hanya sedikit jasa dan jasa itu pula ditabur secara bermusim.
“Kriteria penganugerahan juga perlu diperketat supaya hanya yang layak boleh menerima anugerah. Penerima anugerah harus berbakti sepanjang hayat, jangan hanya mengampu,” katanya.











