KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta menyatakan pendirian sebenar dan berlaku jujur dengan rakyat mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikatakan bakal dihapuskan dalam tempoh terdekat.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai BR1M yang bakal dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan menunjukkan tiada ketetapan pendirian kerajaan PH dalam soal tersebut.
“Sebelum pilihan raya kata tidak suka BR1M, sebelum menang kata suka BR1M, sudah menang kata kekalkan cuma ditukar nama akhirnya kini nampak kembali dengan agenda tidak selesa dengan BR1M.
“Ini menunjukkan mereka (PH) tidak jujur dengan pengundi. Kalau awal-awal lagi tetap dengan pendirian kemudian pengundi pilih tidak mengapa, namun mereka menjual sesuatu yang kemudiannya tidak benar,” katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi panel forum bertajuk Status Reformasi Institusi Selepas 100 Hari anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia di sini, hari ini.
Yang turut menjadi panel forum berkenaan ialah Peguam Negara, Tommy Thomas; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming.
Dr. Mahathir dalam satu wawancara bersama portal The Malaysian Insight berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dimansuhkan.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan PH mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk menggantikan BR1M. – UTUSAN ONLINE











