KUALA LUMPUR 25 Ogos- Lebih 160 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) mengadakan mogok lapar bagi mendesak pihak kerajaan memberi kata putus terhadap pemansuhan akta berkenaan.
Presiden Persatuan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tindakan itu diambil bagi menggesa pihak kerajaan yang mendakwa akan memansuhkan akta tersebut.
“Lebih 1,000 tahanan SOSMA di seluruh negara dan kita dapati berlakunya ketidakadilan layanan terhadap mereka malah ada juga yang meninggal dunia tanpa diberi sebab kukuh.
“Jadi, kita gesa pihak kerajaan memberi kata putus sama ada akta ini akan dimansuhkan atau dipinda,” katanya kepada pemberita di Penjara Sungai Buloh di sini hari ini.
Kira-kira 500 ahli keluarga tahanan SOSMA berhimpun di perkarangan pintu masuk Penjara Sungai Buloh dekat sini sejak pukul 10 pagi sebentar tadi.- UTUSAN ONLINE











