Bukit Maras tumpuan pendaki - Utusan Malaysia

Bukit Maras tumpuan pendaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA yang sama tetapi lokasi berbeza di dua negara. Itulah Bukit Maras. Sebuah terletak di Kuala Nerus, Terengganu, Malaysia, manakala sebuah lagi di Desa Berbura, Bangka, Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika Bukit Maras di Bangka terkenal dengan kisah mitos dan mistik di sebalik keindahannya, Bukit Maras di Kuala Nerus pula dikenali sebagai lokasi mendaki yang santai.

Keindahan panorama laut yang boleh dilihat dari puncak bukit yang terpacak pada ketinggian 330 meter itu bukan sahaja menggamit penduduk tempatan, malah penggemar aktiviti rekreasi santai dari seluruh negara.

Sebelum dikenali sebagai destinasi mendaki, Bukit Maras terkenal sebagai kawasan dusun durian kampung dan sumber hasil hutan yang menarik penggemarnya secara bermusim.

Malah suatu ketika dahulu, bukit yang terpacak kukuh itu seakan asing dan tidak membawa makna apa-apa kepada penduduk, meskipun menampung kepelbagaian flora dan fauna. Itu cerita dahulu.

Kini, Bukit Maras menjadi tumpuan ramai apabila menyediakan ruang dan kesempatan kepada kelompok penggemar rekreasi termasuk pencinta alam dan aktiviti lasak atau kecergasan bersama keluarga.

Keindahan panorama sisi hutan, tanaman, perkampungan dan laut yang jelas terpapar sayup di kejauhan mampu menjadikan lokasi yang agak terpencil ini sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri Terengganu.

Namun, hendaklah bukit itu dibangunkan secara terancang dan terkawal.

Dalam keghairahan itu, alam sekitarnya mesti terus dipelihara dan tidak dibiarkan musnah atas nama pembangunan agar tidak menjadi suatu destinasi yang di- abaikan kelak.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan dalam usaha membangunkan destinasi Bukit Maras sebagai kawasan riadah mendaki dan aktiviti luncur udara (paragliding).

“Bukit Maras kini dalam perhatian Pejabat Daerah Kuala Nerus untuk disenaraikan dalam produk pelancongan. Saya percaya keistimewaan yang dimiliki bukit ini mampu menjadi pakej untuk mempromosikan budaya dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Alhamdulillah selepas Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (Tipco) diadakan di bukit ini, ia semakin dikenali.

“Terbaharu, bukit ini menjadi pilihan pendaki kerana pemandangan menarik Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kabak Mendaki Bukit Maras baru-baru ini.

Program anjuran aktivis Bukit Maras yang diketuai oleh Anuar Ngah itu menghimpunkan hampir 200 pendaki termasuk dalam kalangan penggiat sukan lasak, pengamal media, pelajar dan penduduk kampung.

Dengan pendakian mudah ke puncak mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam, melibatkan jarak 1.6 kilometer dari kaki bukit berhampiran padang bola, pengunjung boleh menyusur beberapa gua dan dua anak sungai.

Menurut Hishamuddin, antara kemudahan yang akan dibina dalam masa terdekat ialah pondok rehat dan tandas awam di laluan mendaki.

Beliau memberi jaminan, kerja-kerja pembangunan akan dilakukan mengikut keperluan bagi mengelak kerosakan alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan lebih banyak penyertaan pertubuhan tempatan menganjurkan aktiviti seumpama ini agar dapat membantu menggamit kedatangan pelancong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini