PASIR GUDANG 18 Mac – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang yang diarahkan tutup sejak 13 Mac lalu ekoran pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim dibuka semula hari ini.
Menurut kenyataan pihak UiTM, keputusan membuka balik operasi selepas keadaan udara di kawasan yang terjejas sebelum ini sudah beransur-ansur pulih.
Bagaimanapun semua pelajar dan kakitangan UiTM dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng penutup hidung dan mulut serta mengurangkan aktiviti luar.

Selain itu, mereka juga disaran agar segera rujuk pasukan perubatan sekiranya mengalami simptom-simptom akibat pencemaran sisa toksik.
Khamis lalu, UiTM sebelum ini mengumumkan sesi kuliah ditangguhkan selama lima hari bermula 13 Mac hingga semalam. UTUSAN ONLINE











