KUALA LUMPUR – MGB Bhd. (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Bhd. melabur sebanyak RM40 juta bagi membangunkan kilang konkrit pra tuang sistem binaan berindustri (IBS) di Nilai, Negeri Sembilan.
Kilang dengan keluasan 2.83 hektar itu akan menghasil, memasar, menjual dan memasang pelbagai komponen IBS seperti panel konkrit pratuang, panel dinding konkrit, papak, konkrit, lajur dan rasuk.
Pengarah Urusan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pelaburan yang dilaksanakan tersebut membuktikan komitmen syarikat untuk terus berkembang dalam pasaran IBS tempatan.
“Ia turut disokong dengan promosi berterusan bagi menggalakkan penggunaan IBS dalam projek awam dan swasta, justeru pasaran IBS dijangka mencatat pertumbuhan kukuh pada tahun akan datang.
“Malah, IBS semakin diiktiraf sebagai kaedah yang dipercayai untuk meningkatkan kualiti produk selain mampu mengurangkan tempoh masa pembinaan, kos buruh di tapak dan kebergantungan kepada buruh manual,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini baru- baru ini.
Kilang konkrit pratuang tersebut adalah usaha sama antara MGB dengan Sany Construction Industry Development (M) Sdn. Bhd., anak syarikat Sany Group Co. Ltd., yang berpangkalan di China.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini melaporkan, penerimaan sektor swasta terhadap IBS ketika ini adalah sebanyak 35 peratus, manakala sasaran pada tahun hadapan adalah sebanyak 50 peratus.
Menurut Hock San, kilang tersebut dilihat mampu mengukuhkan kedudukan syarikat dalam memanfaatkan peningkatan yang tinggi terhadap IBS pada masa hadapan.
“Kami menjangkakan permintaan terhadap komponen IBS akan meningkat kerana semakin ramai perusaha berusaha mencari kaedah alternatif untuk mengurangkan kos pembinaan dalam keadaan pasaran hartanah yang lemah.
“Syarikat turut yakin cadangan untuk mewajibkan penggunaan IBS menjelang tahun 2020 diluluskan akan meningkatkan lagi permintaan segmen ini,” jelasnya.











