PASIR GUDANG 17 Mac – Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim di sini yang dicemari toksik selesai hari ini, namun pihak bertanggungjawab masih mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan pemantauan.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, secara keseluruhannya kawasan sungai sepanjang 1.5 kilometer yang terjejas akibat pencemaran toksik itu telah dibersihkan.
“Proses pembersihan di Sungai Kim Kim telah selesai dan hari ini kita nak tengok sama ada terdapat lagi tempat yang nak dibersihkan atau tidak, namun kita perlu terus melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.
“Hari ini kita boleh kata sebagai hari pemantauan dan selepas itu baru kita akan lihat apakah langkah seterusnya yang kita boleh buat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
Dalam sidang akhkbar itu, beliau turut menunjukkan demonstrasi cara mengukur kualiti udara menggunakan alat pengesan gas.
Dalam perkembangan lain, Bee Yin memberitahu, pihaknya akan menggerakkan sebanyak 30 pasukan dilengkapi pengesan gas untuk memantau kualiti udara di sebanyak 30 buah sekolah di sini bermula hari ini.
Beliau berkata, pasukan yang terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia itu akan melakukan pemantauan di kesemua sekolah yang terletak dalam lingkungan lima hingga sembilan kilometer dari tempat kejadian.
“Kita akan guna pengesan gas untuk kesan dan memantau kualiti udara dan dapatkan semua laporan sebelum umumkan keputusannya esok bagi memastikan udara di kawasan terlibat keseluruhannya berada pada tahap selamat,” katanya.
Ditanya parameter gas yang akan diperiksa pasukan tersebut, Bee Yin memberitahu, itu adalah oksigen, karbon monoksida, Low Exposure Limit (LEL), Volatile Organic Compound (VOC) dan Hidrogen Sulfida (H2S).
Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa saintifik yang ditubuhkan kelmarin sedang menjalankan kajian dan pemantauan berkaitan kesan dan hubung kait sisa kimia yang dibuang kepada persekitaran kawasan tercemar.
Tambahnya, apa yang dilakukan jawatankuasa berkenaan adalah penting dalam menentukan sama ada kerja pembersihan yang dilakukan itu berjaya menyelesaikan masalah dan pada masa sama melihat sama ada pengaliran air bawah tanah turut tercemar.
“Jadi, ia masih dalam kajian kerana pengurusan data itu akan mengambil masa, namun sementara itu pihak terlibat akan terus melakukan pemantauan secara keseluruhannya terutama di sekolah sekitar Pasir Gudang,” katanya.










