SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran simpang Saujana Utama di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian sekitar pukul 3.40 petang itu, mangsa, Muhammad Rejab Lokman, 25, bersama rakan sekerjanya yang berusia 21 tahun sedang dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua individu berkenaan telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian belakang kanan sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang warga emas berusia 77 tahun yang berada di hadapan.
“Kereta yang dipandu Muhammad Rejab seterusnya merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan pacuan empat roda tersebut berpusing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelas Shafa’aton, akibat daripada rempuhan tersebut, Toyota Hilux yang berpusing itu kemudiaannya dirempuh pula oleh sebuah lagi kereta jenis Perodua Alza dari arah belakang yang gagal mengelak.
“Susulan kemalangan tersebut, Muhammad Rejab kemudiannya tersepit di dalam kereta dipandunya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala rakan sekerjanya kini dirawat di Zon Merah hospital sama berikutan pendarahan pada kepala serta kecederaan rahang yang dialami.
“Pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan ringan di tangan serta terseliuh kaki kiri namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan daripada pemandu lain yang terlibat,” jelas beliau.
Menurut Shafa’aton, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











