MBFM puji kesungguhan Felda selesai masalah peneroka  - Utusan Malaysia

MBFM puji kesungguhan Felda selesai masalah peneroka 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mac – Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesungguhan pihak Felda membantu menyelesaikan permasalahan peneroka tanah rancangan tersebut. 

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan berkata, pihak Felda dilihat serius membantu nasib peneroka yang terhimpit dengan kejatuhan harga komoditi sawit dan getah di negara ini.  

“Ucapan terima kasih ini tentunya bertolak daripada kesungguhan berterusan Felda yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu sara hidup dan pendahuluan hasil peneroka. Mulai Jumaat lalu, sebahagian peneroka yang terlibat telah pun menerima wang sara hidup berjumlah RM1,000 sebagai pendahuluan, manakala, sebahagian lagi pula, akan dibayar pada Isnin depan. 

“Walaupun pinjaman sara hidup ini dibayar secara pendahuluan, tetapi ini dianggap sebagai satu usaha yang perlu dihargai dalam kemelut kewangan yang melanda Felda masa kini, dengan MBFM yang merupakan ahli dalam Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) menyambut baik berita ini dan memberikan sepenuhnya sokongan terhadap usaha pengurusan Felda. 

“Komitmen ini adalah penzahiran keprihatinan pihak Felda yang tampil menjawab keresahan suara peneroka tersebut. Perkara ini sekali gus menunjukkan manifestasi keseriusan Felda walaupun menghadapi persekitaran ekonomi dan kewangan yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Fazli berharap, Felda dapat mengemukakan pelan penyelesaian konkrit dan komprehensif mengambil kira pandangan pelbagai pemegang taruh termasuk JKPP yang terdiri daripada ketua-ketua peneroka serta pertubuhan bukan kerajaan lain bagi menangani permasalahan yang berlaku.     

“Perkara itu termasuklah isu memuktamadkan penyata hutang peneroka, pengurusan ladang, perahan dan lain-lain. MBFM juga menyarankan kepada pihak Felda supaya mengadakan jelajah turun padang bertemu warga tanah rancangan bagi menyampaikan aspirasi serta usaha yang diambil bagi meredakan isu yang dihadapi.

“Dalam konteks jangka panjang, kami juga optimis agar pihak pengurusan Felda sentiasa memberikan perhatian untuk meneroka pasaran baharu menggunakan hasil ladang Felda terhadap sektor industri dalam dan luar negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×