LONDON 16 Mac – Jurgen Klopp menegaskan dia tidak akan berbelanja besar ketika musim panas ini meskipun jurulatih dari Jerman itu berjaya membawa pulang trofi ke Anfield.
Liverpool membelanjakan 242 juta pound (RM1.3 bilion) mendapatkan Virgil van Dijk, Alisson, Naby Keita dan Fabinho pada musim lalu dan mereka nyaris melabur 53 juta pound
(RM287 juta) untuk membawa masuk Nabil Fekir, Ogos lalu.
Walaupun Fekir masih kekal menjadi pilihan namun Klopp berkata pasukannya lebih terarah untuk membangunkan pasukan 100 peratus selepas mereka berjaya mara ke peringkat
suku akhir Liga Juara-Juara menentang Porto dengan menewaskan Bayern Munich dalam aksi kalah mati.
“Buat masa sekarang saya tidak fikir pasukan ini akan berbelanja besar.
“Cara yang paling baik adalah menggunakan pemain yang sedia ada, cuba membangunkan pasukan dan kemudian biar mereka bermain bersama.
“Mungkin ini masalah utama di Liverpool sejak 10 tahun lalu. Apabila mereka mempunyai pasukan yang bagus, selepas satu musim semua pemain pergi ke seluruh dunia. Itu tidak
akan berlaku pada tahun ini, saya yakin,” kata Klopp.
Klopp percaya kejayaan menewaskan Bayern 3-1 mampu membantu mereka menewaskan Fulham apabila kedua-dua pasukan itu bertemu esok, dalam usaha The Reds untuk menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Cukup menakjubkan. Kami perlu mula lihat diri sendiri bagaimanapun pasukan lain memandang kami. Saya tidak pernah lihat Bayern bermain secara bertahan. Apabila Manchester City datang ke sini (Anfiel) keadaan lebih kurang sama,” katanya lagi. – AGENSI











