JERANTUT – Seorang tokan dadah ditahan bersama 15 lelaki dalam Ops Sarang di sekitar daerah ini sejak kelmarin.
Operasi khas selama dua hari itu dijalankan bagi menjejak dan membanteras aktiviti penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, operasi tersebut merupakan satu kejayaan bagi pasukannya sehingga berjaya menangkap salah seorang suspek utama yang juga pengedar dadah di daerah ini.
“Seramai 14 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah terlibat dalam operasi ini setelah membuat risikan dan hasil maklumat orang awam.
“Kita berjaya menahan seorang pengedar dan 15 lelaki berusia 20 hingga 50 tahun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 12.3 gram (g) heroin, 4.07g syabu, 3.98g ganja serta wang tunai RM650.00.
“Kes ini disiasat di bawah peruntukkan Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat orang awam dalam usaha mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah secara berterusan. – K! ONLINE











