LONDON 16 Mac – Mohamed Salah mengutuk keganasan yang berlaku di New Zealand selepas insiden tembakan rambang di dua buah masjid dekat Christchurch meragut 49 nyawa manakala 48 lagi cedera.
Dua masjid tersebut menjadi sasaran seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Brenton Tarrant membunuh 41 orang di Masjid Al Noor ketika umat Islam ingin melakukan solat Jumaat.
Tujuh lagi dibunuh di masjid berhampiran Linwood manakala seorang lagi meninggal di hospital.
“Berita yang mengerikan dari New Zealand pada pagi ini.
“Takziah kepada keluarga mangsa dan mangsa yang tidak bersalah telah kehilangan nyawa mereka disebabkan tindakan kejam ini,” kata Salah.
Dalam pada itu, pemain tengah Tottenham, Moussa Sissoko turut melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.
“Mereka akan berada dalam ingatan dan saya mendoakan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terlibat dalam kejadian di #NewZealand,” katanya. – AGENSI











