SEREMBAN – Sebanyak dua buah rumah di Taman Seremban Jaya di sini dilempar dengan bahan letupan dipercayai molotov cocktail dalam kejadian awal pagi tadi.
Pegawai Bomba kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Amir Abu Kasim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 4 hingga 5 pagi.
“Kejadian itu menyebabkan sebuah kereta jenis Perodua Viva milik seorang wanita berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah hospital swasta di sini mengalami kerosakan kecil.
“Motosikal jenis Modenas Kriss di sebuah rumah lain pula mengalami kerosakan pada bahagian lampu belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Amir berkata, pemilik rumah terbabit mendakwa mereka hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi ini semasa mahu keluar ke tempat kerja masing-masing.
Menurut beliau, insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan struktur bangunan rumah terlibat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.43 pagi dan seramai 15 pegawai serta anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Apabila kami tiba api sudah padam. Terdapat kesan kebakaran pada lantai tempat letak kenderaan di rumah terbabit,” katanya. – K! ONLINE











