KUANTAN – Seorang warga emas kerugian RM13,000 selepas diperdaya warga asing yang meminta pertolongan bagi bayaran kos rawatan untuk menyelamatkan nyawa saudaranya di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa lelaki berusia 73 tahun itu, seorang peneroka di Jerantut, pada mulanya ditegur oleh seorang lelaki warga Indonesia pada lebih kurang pukul 1 tengah hari Rabu lalu, ketika berada di sebuah pasar raya di Bandar Jerantut.
“Suspek bertanya mengenai lokasi Pejabat Pos dan meminta bantuan mangsa untuk mengambil wang kemenangan tiket nombor ekor. Bagaimanapun mangsa tidak mengendahkannya.
“Setelah keluar dari pasar raya berkenaan mangsa ditegur pula oleh seorang lelaki lagi, yang meminta bantuan untuk menebus hadiah kemenangan dengan menunjukkan tiket nombor ekor yang dimenangi,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengikuti suspek menuju ke sebuah kereta yang dipandu suspek ketiga sebelum suspek pertama bersama seorang wanita juga warga Indonesia turut masuk ke dalam kereta berkenaan dan membawa mangsa ke sebuah bank di bandar Jerantut. – Bernama











