KUALA LUMPUR 15 Mac – Malaysia Airlines menawarkan diskaun sehingga 30 peratus sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2019.
Menurut Malaysia Airlines, pelanggan boleh menikmati tambang pergi balik termasuk semua Kelas Ekonomi ke Kota Kinabalu, Sabah serendah RM479; Kuching, Sarawak (RM339), Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah (RM239).
“Tambang pergi balik termasuk semua Kelas Ekonomi laluan antarabangsa pula antaranya penerbangan ke London serendah (RM2,899) dan ke Seoul, Korea Selatan (RM1,559).
“Tambang berkenaan untuk pelanggan yang akan berlepas dari Kuala Lumpur dan bagi tempoh perjalanan dari 15 Mac 2019 sehingga 15 Januari 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pameran MATTA 2019 akan diadakan selama tiga hari bermula 15 Mac ini di Dewan 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Lebih 180 agensi pelancongan akan berada di sini sepanjang tiga hari pameran dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung termasuk cabutan bertuah. – UTUSAN ONLINE











