Mahu gunting rambut? Kelantan paling murah! - Utusan Malaysia

Mahu gunting rambut? Kelantan paling murah!

Gambar hiasan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mungkin ada segelintir yang mengeluh apabila kedai gunting rambut menaikkan kadar harga susulan terpaksa tanggung pembelian pelbagai peralatan cegah Covid-19. 

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa caj perkhidmatan itu untuk pelanggan lelaki adalah berbeza di setiap negeri dan bergantung kepada berapa banyak kos tambahan digunakan.

Menurut laporan Indeks Harga Pengguna diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia di sini berdasarkan data terkini pada Oktober lalu, harga peringkat nasional ialah RM12.70.

Uniknya, agensi itu melaporkan bahawa tukang gunting rambut di Kelantan muncul sebagai negeri yang menawarkan kadar perkhidmatan paling rendah di negara ini iaitu purata RM7.94.

Ini diikuti pula Kedah secara purata menetapkan harga RM10.86, Negeri Sembilan (RM11.67), Perak (RM11.29), Perlis (RM11.75) dan Sarawak (RM11.83) dan Melaka (RM12.60)

Sementara kadar caj gunting rambut bagi seorang pelanggan lelaki yang paling mahal pula lapor DOSM, ialah Labuan dengan kadar purata RM18.00 disusuli Putrajaya (RM15.40).

Ia dituruti pula Sabah (RM14.93), Kuala Lumpur (RM14.80), Selangor (RM14.41), Pahang (RM13.18), Terengganu (RM13.13) dan Johor (RM12.85) dan Pulau Pinang (RM12.78).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mula membenarkan operasi kedai gunting rambut tetapi dengan prosedur operasi standard ketat sejak 10 Jun lalu untuk kekang penularan Covid-19.

Ia hasil persetujuan Gabungan Pendandan Rambut Malaysia yang disertai tujuh persatuan dengan tambahan antara RM5 hingga RM10 daripada kadar lama dari RM12 hingga RM15.

Kos ekstra itu disebabkan pekerja perlu memakai pelitup atau pelindung muka, set sarung tangan getah, apron plastik pakai buang serta tidak boleh berkongsi tuala setiap pelanggan.

Setiap premis juga wajib menyediakan cecair basmi kuman, saringan suhu badan pelanggan dan perlu menulis butiran diri atau mendaftar rekod masuk menerusi aplikasi MySejahtera. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×