KUALA LUMPUR 14 Mac – Tiga individu yang terlibat dalam himpunan sempena Hari Wanita Sedunia turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan dipanggil memberi keterangan kepada polis pada Isnin depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini pihaknya telah memanggil enam individu termasuk tiga penganjur bagi membantu siasatan.
“Ketiga-tiga individu berkenaan akan hadir di Ibu pejabat Polis Dang Wangi, Isnin ini.
“Kita memberi jaminan kes ini akan diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Isnin lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya telah membuka siasatan mengenai himpunan itu dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran.
Sabtu lalu, kira-kira 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek di sini.
Difahamkan, acara itu telah disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS), aktivis serta pelajar.
Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.











