SHAH ALAM – Penggunaan nota berbentuk peta minda menjadi rahsia kecemerlangan kepada seorang pelajar memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 yang diumumkan hari ini.
Wan Mohamed Nazeem Wan Mohamed Den, 18 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 berkata, nota sebegitu berjaya meningkatkan daya ingatan dan minat dalam pembelajaran serta ulangkaji berbanding dengan nota berbentuk linear.
Katanya, ini berikutan dapat merancang pemikiran visual dalam mengorganisasi maklumat dengan berstruktur sesuai dengan saya yang mengikuti aliran Sains.
“Dalam aliran sains ini banyak subjek memerlukan kita dalam mensintesikan dan memahami maklumat pembelajaran yang membuatkan saya menjadikan peta minda seolah-olah sahabat karib saya.
“Semestinya, saya amat bersyukur kerana mampu mendapat keputusan cemerlang sebegini dan ini merupakan hadiah kepada ibu bapa saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, bagi melancarkan lagi proses ulangkaji pembelajaran dia mengaplikasikannya dengan mendengar muzik bercorak klasik.
Ujarnya, ini kerana mampu menghasilkan suasana tenang seterusnya meransang otak menerima maklumat dengan mudah.
“Saya bercita-cita menjadi doktor pakar bedah kardiologi atau neurologi dengan sasaran melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Dublin, Ireland,”katanya.
Sementara itu, pasangan kembar empat tidak seiras yang juga merupakan pelajar di sekolah sama turut mencuri tumpuan sewaktu mengambil keputusan SPM itu.
Keempat-empat pelajar tersebut adalah Sharifah Nazira Syed Nurshadir memperoleh 5A dan adiknya yang lain iaitu Syed Nazrin mendapat 8A, Syed Nadzmi (3A) dan Sharifah Nadira mendapat 7A.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dalam mengulangi pelbagai subjek pelajaran bersama dan fokus pada pembelajaran di dalam kelas,” katanya. – K! ONLINE











