KUALA LUMPUR – Pihak polis mengesahkan bahawa seorang maknyah yang menari dalam keadaan bogel di Jalan Imbi pagi semalam tidak mengalami sebarang masalah mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dibuat oleh pihak hospital, lelaki yang berperwatakan wanita itu tidak mempunyai sebarang masalah mental.
“Terdapat kemungkinan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai masalah kemurungan tetapi kita akan siasat dengan lebih lanjut.
“Hasil ujian air kencing lelaki yang berasal dari Filipina itu juga adalah negatif,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mazlan menambah, lelaki itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap termasuk pasport.
“Kita masih belum mengetahui apakah sebab dia melakukan perbuatan sedemikian dan kita telah tahan dia untuk siasatan selanjutnya.
“Dia telah direman sehingga 28 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Semalam, beberapa klip video telah tersebar di laman media sosial sejak tengah hari memaparkan seorang maknyah menari dalam keadaan bogel di tengah-tengah jalan raya.
Maknyah berkenaan yang dipercayai kurang siuman turut kelihatan memanjat beberapa buah kereta dan bertindak menghalang lalu-lintas sambil menari. – K! ONLINE











