KUALA LUMPUR 14 Mac.- Sebanyak 13 rakyat Malaysia dipercayai ditahan pihak berkuasa Indonesia berhampiran sempadan perairan antarabangsa di Tanjung Datu, Sematan, Kuching, Sarawak kelmarin.
Mereka yang terdiri daripada 11 pemancing dan dua kru berusia antara 16 hingga 53 tahun dengan sembilan daripadanya berasal dari Lundu, manakala dua lagi dari Kuching.
Memetik laporan Berita Harian, kejadian itu telah disedari selepas pemilik bot menerima panggilan seorang pekerjanya pada pukul 11 malam yang memaklumkan bot miliknya dengan nombor pendaftaran SF 166 ditahan pihak berkuasa Indonesia kira-kira pukul 11.05 pagi.
Susulan maklumat itu, pemilik bot berusia 62 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Tabuan Jaya berhubung kejadian berkenaan.
Sumber memberitahu akhbar itu, ketika kejadian, bot berkenaan berada dalam kawasan perairan negara iaitu pada kedudukan latitud 02-09-600 utara dan longitud 110-10-261 timur.
“Selain 13 warga Malaysia yang ada dalam bot itu, seorang lagi adalah warga Indonesia. Ia bukannya bot nelayan komersial, sebaliknya digunakan untuk menyediakan perkhidmatan membawa pemancing
“Ketika ini bot berkenaan dikatakan masih ditahan di Pontianak, Kalimantan Barat bagi proses siasatan”katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.-UTUSAN ONLINE











