KUALA LUMPUR 13 Mac – Suatu ketika dahulu sekitar tahun 90-an, Pasar Sungai Besi pernah menjadi ikonik dan tumpuan orang ramai.
Berbeza hari ini suasananya tidak semeriah dahulu, semakin suram kerana kekurangan pe-langgan dan umpama ‘hidup segan, mati tak mahu’.
Sejak pembangunan pesat di sekelilingnya seperti pembinaan Transit Aliran Massa, jejantas dan pembinaan sebuah pasar raya moden dan pusat komersial menyebabkan bangunan dua tingkat itu bukan lagi menjadi pilihan orang ramai untuk membeli-belah.
Keadaan ini memberi kesan secara langsung kepada 176 peniaga pasar berkenaan terutamanya yang berada di tingkat atas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir 90 peratus kedai di tingkat atas ditutup malah barang-barang peniaga kelihatan sudah berhabuk membuktikan sudah lama tidak beroperasi.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa isu termasuk kekurangan tempat letak kenderaan turut menjadi faktor utama pasar berkenaan kurang dikunjungi pelanggan.
Mereka enggan menerima risiko disaman penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana meletakkan kende-raan di bahu-bahu jalan semata-mata mahu membeli keperluan di pasar itu.
Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Sungai Besi, Abu Hassan Abdullah berkata, peniaga pernah dimaklumkan oleh DBKL sebelum ini bahawa pasar berkenaan bakal dinaik taraf seiring dengan pembangunan pesat di pekan itu.
Katanya, apa yang menimbulkan rasa terkilan sehingga kini tiada sebarang perubahan dibuat ke atas pasar itu.
“Sumber pendapatan peniaga semakin terjejas akibat kekurangan pelanggan ke pasar ini.
“Sewajarnya pihak berkuasa tempatan itu memikirkan cara terbaik untuk memastikan masa depan peniaga di pasar ini tidak terjejas,” ujarnya.










