KUANTAN 13 Mac – Kementerian Dalam Negeri diminta mengharamkan Sisters In Islam (SIS) yang menjadi penganjur perarakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan Hari Wanita di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, perkataan ‘Islam’ pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu perlu digugurkan kerana jelas boleh mengelirukan terutama kepada mereka yang mempunyai tahap pengetahuan agama yang rendah.
“Ia tidak mencerminkan kebaikan kepada Islam malah perlakuan mempromosikan LGBT mengunakan NGO yang ada perkataan Islam adalah berniat jahat, mengelirukan serta mencemarkan nama Islam itu sendiri.
“Selaku Exco Pemuda UMNO, saya mohon kerajaan memandang serius perkara ini agar SIS diharamkan menggunakan perkataan Islam kerana tindakan NGO itu ternyata mencemarkan nama Islam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam satu himpunan dan perarakan Women’s March, Sabtu lalu, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Walaupun perarakan itu bertujuan meraikan Hari Wanita Sedunia, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.- UTUSAN ONLINE











