JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan penularan kenyataan melalui aplikasi Whatsapp mengenai Pengisytiharan Red Alert oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak semalam.
Penularan maklumat palsu ini susulan kejadian kes melibatkan ramai pelajar sekolah serta orang awam menjadi mangsa ekoran pencemaran bahan sisa kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dekat sini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, sehingga kini keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kematian rentetan kejadian pembuangan sisa toksik itu.
“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.
“Pihak JKNJ juga menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Selahuddeen berkata, maklumat terkini keadaan akan disiarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa.
Kosmo! Online semalam melaporkan lebih 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort serta orang awam mengadu loya dan sakit kepala dipercayai terkesan daripada pencemaran sisa toksik terbabit.
Susulan itu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan dan Pertanian mengarahkan 13 buah sekolah sekitar ditutup hari ini sehingga satu tarikh diumumkan kelak. – K! ONLINE











