KEMAMAN – Sebuah pekerja binaan cedera patah selepas terjatuh dari ketinggian hampir 11 meter di tapak pembinaan Loji Air Sungai Pinang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.35 pagi itu, Noor Munadjari, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Noor yang berasal dari Sandakan, Sabah sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan loji air tersebut.
“Mangsa dikatakan telah tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sebuah lubang di tapak loji air terbabit. Impak daripada hentakan kuat terbabit menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
“Sewaktu sepasukan anggota bomba tiba tidak lama selepas memperolehi maklumat berhubung kejadian itu terpaksa menggunakan bantuan kren untuk membawa turun pengusung ke dalam lubang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, mangsa berjaya dinaikkan dengan menggunakan kren dalam tempoh kira-kira 30 minit. – K! ONLINE











