KUALA LUMPUR 12 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengemukakan cadangan nama calon bagi menggantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang akan bersara bulan depan.
Menurut Vui Keong, nama-nama berkenaan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
“Pelantikan Ketua Hakim Negara dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada Perdana Menteri,” katanya ketika mengulas teka-teki nama calon yang bakal menggantikan Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul e-Review dan Sidang Video di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis sama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah Sarawak Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Sri Ahmad Maarop.
Malanjum telah mencapai usia 66 tahun dan tempoh perkhidmatan beliau telah disambung enam bulan sebelum ini.
Beliau sebelum ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak telah dilantik menggantikan Tun Md. Raus Sharif yang meletakkan sebagai Ketua Hakim Negara bermula 11 Julai tahun lalu.
Difahamkan antara Hakim Mahkamah Persekutuan yang bakal mencapai usia 66 tahun pada tahun ini adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah.
Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan. – UTUSAN ONLINE











