“Jangan meracun ikan, jangan menuba ikan, jangan menayo ikan, buat lukah tangkap ikan, buat lukah tangkap ikan, buat lukah tangkap ikan”.
Bait-bait kata berkenaan merupakan lirik dan lagu yang dicipta seorang pembuat lukah, Abu Hassan Mohd., 86, yang sejak usia 13 tahun sudah mahir membuat peralatan menangkap ikan itu.
Kemahiran itu diwarisi daripada datuknya, Mohamad Amin, ketika menetap di Kampung Lubok China, Melaka dan ilmu berkenaan kemudiannya dijadikan hobi utama sejak menetap di Felda Pasir Besar, Gemas.
Sejak itu dia mula kerap membuat lukah seawal tahun 80-an bagi menangkap ikan.
“Sudah tak terkira berapa banyak saya buat lukah, mungkin sudah hampir 1,000 tapi apa yang membuatkan saya sedih tiada golongan pelapis untuk saya wariskan kemahiran ini yang merupakan seni tradisi menangkap ikan orang Melayu dulu-dulu.
“Malah sehingga kini impian saya untuk mempunyai bengkel sendiri dengan sokongan agensi kerajaan bagi memberikan kelas kepada generasi muda untuk membuat lukah juga masih belum tercapai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Peringkat 1, Felda Pasir Besar Gemas, Tampin, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Abu Hassan berkata, pembuatan lukah tidak begitu rumit dan hanya memakan masa tiga hari untuk menghasilkan lukah bersaiz sederhana.
Malah menurutnya, bahan-bahannya juga mudah ditemui iaitu buluh, akar periuk kera ataupun digantikan dengan besi atau tali rafia.
“Langkah pertama ialah memilih buluh yang baik, bukannya buluh bagi membuat lemang tetapi buluh tilan. Kemudian, kita ukur berapa panjang lukah yang nak kita buat dan baharulah kita potong dan jemur.
“Buluh berkenaan kemudiannya diraut daripada saiz besar ke kecil di bahagian hujungnya. Kemudian kita fokuskan pula membuat bahagian kepala lukah,” katanya lagi.

Menurutnya, di bahagian hujung dalam lukah terdapat lubang untuk membolehkan ikan masuk di mana terdapat bilah rotan yang runcing dan tajam yang disusun menjadi seperti kon di sepanjang laluan ikan.
“Kadang-kadang saya kecewa bila seni seperti ini tidak dapat dikongsikan kepada generasi muda. Sekurang-kurangnya biarlah ilmu ini ada pada anak muda.
“Kalau mereka tinggal berdekatan sungai, mereka boleh jadikan lukah ini sebagai sumber makanan mereka. Datuk saya dulu selalu pesan, tak payah makan ikan kalau tak pandai buat lukah,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, arwah datuknya itu ada membuat lukah bersaiz besar sehingga buaya juga boleh masuk ke dalam lukah berkenaan ketika dipasang di sungai di Lubok China.
“Lukah ni bagus, kita tak aniaya ikan dan anak-anak ikan. Kalau diracun, dituba banyak ikan yang akan mati, hampa rasanya” katanya kesal.
BERHENTI KERJA, mahu KOMERSIALKAN LUKAH
Bagi Samsuri Said, 56, dia nekad berhenti kerja dalam tempoh 24 jam sebagai pengurus landskap di sebuah hotel di Melaka bagi membantu Abu Hasan merealisasikan hasrat membuka bengkel pembuatan lukah.
Menurutnya, dia tidak tahu sama ada keputusan yang dibuatnya kira-kira dua bulan lalu itu tepat atau sebaliknya. Namun hasratnya adalah bagi menghasilkan lukah secara komersial.
“Pendemik Covid-19 ini menyebabkan saya kembali ke pangkal jalan mencari warisan Melayu yang ditinggalkan dan kebetulan saya bertemu dengan pak cik Abu Hassan di kedai makan di Felda ini,” katanya.

Menurutnya, Abu Hassan yang digelarnya sebagai guru meluahkan rasa sedih dan bimbang tiada pelapis bagi mewarisi kemahiran membuat lukah darinya.
“Dia telah meluahkan rintihannya berpuluh-puluh tahun lalu yang membuat lukah tanpa sebarang sokongan. Dia berhasrat untuk membuat kelas serta memiliki bengkel pameran lukah.
“Jadi saya berikan ruang menggunakan rumah pusaka bapa saya di Felda ini sebagai bengkel dan sejak dua bulan lalu, saya mula belajar menghasilkan lukah,” katanya.
Menurut Samsuri lagi, Abu Hassan mengajarnya daripada langkah pertama iaitu memilih buluh, mengukur saiz dan memotong buluh mengikut saiz lukah yang ingin dihasilkan.
“Saya sudah mampu membuat lukah malah kini saya sedang berusaha untuk mengkomersialkan pembuatan lukah ini untuk dijadikan perhiasan, hadiah ataupun digunakan mengikut fungsinya iaitu menangkap ikan.
“Jika sebelum ini, pak cik Abu Hassan memang menghasilkan lukah khusus bagi menangkap ikan, kini, sudah tiba masanya mengkomersialkan produk seni tradisi masyarakat Melayu ini,” katanya.
Tambahnya, baru-baru ini mereka dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd. Razak Ab. Said dan dia amat berharap agar kunjungan berkenaan menjadi pembuka kepada produk lukah mereka agar lebih dikenali











