JAKARTA 11 Mac – Konsert solidariti yang dianjurkan untuk memberi sokongan kepada penyanyi Ahmad Dhani dan dijangka dihadiri oleh calon Naib Presiden Indonesia nombor dua iaitu Sandiaga Uno di Surabaya dibatalkan.
Pada awalnya lapor Republika.co.id, konsert tersebut dijangka berlangsung semalam di Grand City Surabaya.
Jurucakap Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga, Andre Rosiade memaklumkan bahawa, pembatalan konsert tersebut bukan disebabkan oleh kehadiran Sandiaga, sebaliknya kerana penganjur program belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Sebelum Sandiaga datang, penganjur program perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu memandangkan yang dijemput itu adalah calon naib Presiden Indonesia.
“Bagaimanapun, konsert itu dijadualkan tetap berlangsung esok dan sudah mengikut semua prosedur yang ditetapkan,” katanya, semalam.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Konsert ‘Hadapi dengan Senyuman’, Didik Darmadi menjelaskan, kehadiran Sandiaga tidak ada kaitan dengan aktiviti kempen dan bersifat hiburan semata-mata.
Katanya, Sandiaga juga menyatakan keinginan untuk menyampaikan sebuah lagu dan bermesra dengan orang ramai tanpa melibatkan aktiviti kempen.
Sehubungan itu, Didik meminta supaya mana-mana pembeli tiket supaya tidak berasa bimbang kerana wang mereka akan dikembalikan. – AGENSI











