JOHOR BAHRU – Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) menafikan satu laporan berhubung seorang pembantu landasan yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah merupakan kaitangan mereka.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak pengurusan LTAS melakukan siasatan dalaman dan lelaki itu bukan kakitangan Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB).
“SATSSB menafikan bahawa suspek adalah seorang pekerja landasan di LTAS,” katanya.
Media hari ini melaporkan polis menahan seorang pembantu landasan LTAS dan merampas 5.95 kilogram dadah jenis heroin dalam satu operasi di Seremban Gateway di sini Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan semasa dia dalam perjalanan menghantar dadah bernilai kira-kira RM104,000 tersebut dari Johor ke Lembah Klang dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi. – K! ONLINE











