KUALA LUMPUR 11 Mac – Orang ramai dipelawa menyaksikan pameran lukisan tapir berjudul Tapirama yang sedang berlangsung di Creative Space, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, sehingga 5 Mei ini.
Pameran membawa mesej selamatkan tapir yang kian terancam itu diadakan sempena sambutan Hari Tapir Sedunia 2019 pada 27 April setiap tahun.
Penganjuran pameran berkenaan merupakan inisiatif Kumpulan Gariswarna yang menjadikan tapir dan alam sekitar sebagai subjek dan tema dalam pameran ini sekali gus menggalakkan penglibatan generasi baharu untuk mencintai haiwan unik tersebut.
Menampilkan empat pelukis tanah air iaitu Abby Zain, Mei Mambo, Ida Sri dan Lal Mural yang akan berada di sepanjang pameran bermula sejak 5 Mac lalu.
Sepanjang tempoh pameran, turut diadakan kelas dan bengkel kesenian seperti kelas menjahit tapir mainan, kelas melukis atas gelas dan kelas mewarna. – UTUSAN ONLINE











