SHAH ALAM – Golongan atau kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) perlu ingat bahawa mereka tidak mempunyai sebarang tempat atau hak untuk mengamalkan cara hidup mereka di negara ini walaupun Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi.
Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya (gambar kecil) yang mana beliau turut menegaskan bahawa LGBT adalah amalan songsang yang bukan sahaja menyalahi hukum Islam tetapi turut bercanggah dengan undang-undang.
Malah katanya, tindakan kumpulan pro-LGBT yang dilaporkan menyertai perhimpunan Hari Wanita Sedunia di Kuala Lumpur semalam dianggap melampau seolah-olah mahu mencabar pendirian kerajaan serta majoriti rakyat Malaysia yang menolak LGBT termasuklah apa-apa jua tuntutan hak bagi mengiktiraf amalan itu.
“Saya nak ingatkan penegasan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pada 21 September tahun lalu bahawa amalan LGBT tidak diterima sama sekali di negara ini. Jadi golongan atau kumpulan LGBT ini jangan sesekali merasakan mereka itu boleh diterima serta bebas mengamalkan cara hidup mereka kononnya atas nama hak asasi manusia.
“Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, namun sistem nilai kita tidak sama dengan sistem nilai barat. Maka jangan haraplah (budaya LGBT diktiraf di negara ini),” katanya di sini hari ini.
Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan kumpulan penyokong LGBT yang dilapor mencemari perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di ibu kota, Sabtu lalu.
Malah, kumpulan terbabit dikatakan melaungkan slogan ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap budaya songsang itu.
Dalam pada itu, Abu Bakar berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan susulan terhadap kumpulan LGBT terbabit yang dilihat cuba mencabar undang-undang negara ini yang merupakan sebuah negara Islam serta menjamin setiap hak asasi rakyat termasuk konsep kekeluargaan iaitu pasangan di antara lelaki dengan wanita serta anak-anak. – K! ONLINE











