MILAN 11 Mac – Jaringan Lorenzo Insigne pada lewat permainan membolehkan Napoli mencuri satu mata berharga selepas mengikat Sassuolo 1-1 dalam aksi Serie A menyaksikan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu, Juventus.
Kapten Napoli itu menjaringkan gol penyamaan empat minit sebelum tamat sekali gus menafikan jaringan Domenico Berardi yang dilakukannya pada minit ke-52 dalam aksi di Modena.
Harapan Napoli untuk merangkul kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1990 semakin pudar apabila Juventus melakar kemenangan kelapan berturut-turut dengan membelasah Udinese 4-1, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, AC Milan berada di tangga ketiga ketinggalan enam mata selepas mengumpul 51 mata menewaskan kelab tercorot, Chievo 2-1 manakala Inter Milan menundukkan SPAL 2-0. Milan dan Inter akan bertembung dalam pertarungan derby pada minggu depan.
“Kami bertindak balas dengan baik dan mencatat keputusan seri malah berusaha untuk mencipta kemenangan.
“Sekarang kami perlu fokus kepada aksi bertemu Salzburg,” kata Insigne yang akan bertemu kelab dari Austria itu dalam aksi suku akhir Liga Europa, Jumaat ini.
Sementara itu, Inter yang mencari suntikan semangat menjelang aksi derby dipaksa menanti hingga babak kedua sebelum berjaya menembusi gawang SPAL menerusi jaringan Matteo Politano dan Roberto Gagliardini dalam usaha mereka merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Skuad kendalian Luciano Spalletti itu hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir dan terdesak mencari kemenangan sebelum bertemu AC Milan menjelang derby della Madonnina minggu depan.
“Kami sepatutnya beraksi lebih baik pada permulaan perlawanan namun kami membiarkan tekanan menguasai kami namun kami adalah Inter dan kami perlu menang perlawanan ini.
“Selepas gol pertama diperoleh, semua pemain menjadi lebih berkeyakinan,” kata Spalletti. – AFP











