Peka cadang kedutaan bantu pekerja asing perbaharui permit kerja - Utusan Malaysia

Peka cadang kedutaan bantu pekerja asing perbaharui permit kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 11 Mac – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya proses memperbaharui permit kerja bagi pekerja asing dilaksanakan dengan kerjasama kedutaan negara masing-masing.

Presiden Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, cadangan berkenaan dikemukakan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerap menerima rungutan daripada pekerja asing berhubung masalah mendapatkan permit kerja melalui ‘orang tengah’.

Beliau berkata, KDN boleh melantik kedutaan asing di negara ini untuk membantu proses mendapatkan permit kerja selain hanya mengeluarkan pasport.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu ini (permit kerja) seharusnya diselesaikan segera dengan cara majikan atau warga asing boleh pergi ke kedutaan masing-masing bagi menguruskan hal permit bagi mengelakkan kesesakan di kaunter Jabatan Imigresen.

“Kedutaan perlu membela nasib rakyat mereka sendiri dan sedar bahawa rakyat asing tidak faham undang-undang di negara ini berbanding pegawai serta kakitangan di kedutaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, ramai majikan mengabaikan kewajipan memperbaharui permit kerja dan ia menyusahkan pekerja asing.

“Pekerja asing tidak boleh pergi sendiri sambung permit kerana hanya majikan yang berhak, ini membuatkan mereka jadi buntu jika majikan bertindak sedemikian (tidak perbaharui permit).

“Cara ini warga asing boleh mengadu pada kedutaan dan memohon kedutaan campur tangan serta mengeluarkan surat pengesahan berhubung status permohonan permit ‘dalam proses’. Warga asing takut mahu berurusan dengan Imigresen kerana diberi persepsi yang salah tentang hal ini, mereka hanya tahu Imigresen akan menangkap mereka” katanya.

Jelasnya, surat pengesahan kedutaan boleh menjadi rujukan kepada pihak berkuasa sekali gus membendung segelintir anggota badan beruniform yang tidak berintegriti terus mengambil kesempatan untuk memeras warga asing serta ditipu ‘orang tengah.

Sementara itu, beliau berpendapat kerajaan seharusnya memikirkan manfaat kutipan levi dalam kalangan pekerja asing di negara ini daripada berterusan menyalahkan mereka yang tidak reti memohon. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini