KUALA LUMPUR 11 Mac – Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah berangkat tiba untuk merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Dataran Parlimen di sini, pagi ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj pada pukul 10.08 pagi tadi, disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Turut menyambut keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-UTUSAN ONLINE











