ARAU 10 Mac – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpun sempena perarakan Hari Wanita semalam bukan sahaja bertentangan dengan syariat Islam dan naluri insani, malah turut ‘menghairankan’ haiwan.
Katanya, sebagai manusia biasa, golongan itu memang berhak berkumpul mempertahankan hak mereka selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan naluri insani.
‘‘Manusia biasanya berkumpul dan melaungkan perasaan untuk menuntut hak yang Tuhan berikan tetapi telah dicabuli atau mencari kebaikan demi membela fitrah insani. Malangnya bagi golongan songsang mereka berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf.
‘‘Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri bahkan mendedahkan betapa mereka itu ‘cacat’ dan mencacatkan fitrah. Perarakan seperti itu bukan sahaja menghairankan manusia yang menuruti fitrah yang Allah tetapkan, tapi juga menghairankan haiwan yang sentiasa berada atas ketetapan ciptaan Tuhan,’’ katanya dalam status akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Dalam perarakan Women’s March semalam, penyokong LGBT dirakam mengambil kesempatan melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman melihat perbuatan penyokong LGBT yang mencemari perhimpunan Women’s March semalam sebagai mencabar agama Islam dan undang-undang negara.
Katanya, adalah jelas gaya hidup tersebut tidak diterima di negara ini namun masih ada pihak yang berdegil dan memperjuangkannya.
“Diharapkan ada tindakan yang dapat diambil dan jika mereka masih terus mencabar maka tindakan undang-undang perlu dikenakan,” katanya selepas menghadiri Forum Pemuda Al-Fateh bersama Mufti di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, tegas Abdul Rahman, usaha perlu terus diadakan untuk memberi dakwah kepada golongan tersebut dan menerima mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan dengan tangan terbuka.











