SELAYANG – Seorang wanita warga tempatan ditahan polis selepas disyaki membuang bayi lelaki di dalam mangkuk tandas di Hospital Selayang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tindakan mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an tersebut disedari seorang pekerja kilang berusia 39 tahun ketika berada di dalam tandas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, sebaik menyedari tindakan wanita berkenaan, pekerja kilang itu kemudian bergegas meminta pertolongan pengawal keselamatan yang berada di luar tandas tersebut.
“Bayi lelaki berkenaan berjaya diselamatkan dan kini berada di Zon Merah Hospital Selayang untuk menerima rawatan. Bayi tersebut disahkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sementara suspek yang dipercayai ibu kandung bayi malang berkenaan telah ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan tersebut. Bagaimanapun, suspek enggan memberi kerjasama apabila ditemubual,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi. – K! ONLINE











